OGOS 2023

Kerajaan Sarawak Akan Bekerjasama Dengan Sektor Swasta Mencantikkan Kuching


Kuching, 1 Ogos 2023 - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Openg bekata kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam usaha untuk menjadikan Kuching sebagai bandaraya yang lestari dan berdaya huni.

Beliau berkata ini termasuk menaik taraf infrastruktur bandar, termasuk kemudahan awam, tebingan sungai Kuching (Waterfront), serta kawasan lain di kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

“Kerajaan Sarawak akan menyuntikkan dana bersama-sama dengan pihak swasta untuk membangunkan Bandaraya kita ini.”

“Dari sudut kerajaan kita akan menaikkan taraf infrastruktur iaitu kemudahan-kemudahan awam termasuklah tebingan sungai ini dan juga tempat-tempat yang lain di kawasan Petra Jaya (DBKU) dan juga di kawasan MBKS,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Memperingati Hari Bandaraya Kuching Ke-35 Tahun.

Tambah beliau, Satu lagi inisiatif penting ialah mewujudkan Rizab Alam Semula Jadi seperti di di 'Sama Jaya Nature Reserve' di mana ia menjadi tempat untuk masyarakat kita beriadah dan bersenam 

“Kalau di kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kita ada di 'Sama Jaya Nature Reserve' di mana ia menjadi tempat untuk masyarakat kita beriadah dan bersenam, dan ini kita akan terus memberi kemudahan yang cukup dikawasan itu,” kata beliau.

Tambahan pula, kerajaan merancang untuk menetapkan Bukit Siol di Petra Jaya sebagai Rizab Alam Semula Jadi, memelihara kawasan hijau sehingga ke Boulevard. 

"Kita akan mengazetkan kawasan bukit siol sebagai Rizab Alam Semula Jadi bermakna kita akan mengekalkan kehijauan di Bukit siol hingga ke boulevard dan ini akan kita bangunkan dengan prasarana yang memberikan keselamatan di Kawasan tersebut,” tambah beiiau.

“Kita akan tanamkan dengan pokok-pokok asli Sarawak seperti berlian nyatoh dan lain-lain akan kita tanamkan di kawasan ini dan dia akan memberikan kehijauan kepada kawasan-kawasan kita selain daripada memberikan tempat untuk masyarakat Kuching beriadah.”

Di samping inisiatif ini, kerajaan Sarawak juga komited untuk menangani isu banjir di kawasan tertentu. Abang Johari menekankan bahawa pembiayaan adalah penting untuk projek pembangunan ini, dan kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menaik taraf sistem perparitan. 

"Kita akan terus membangun kawasan-kawasan yang akan menjadi kawasan yang tidak ada banjir. maka kerajaan Sarawak akan memberi suntikan dana untuk kita menguruskan hal banjir ini dan kita harap menjelang 2030 kawasan kita sudah mempunyai infrastruktur termasuk dalam kita hendak menguruskan masalah banjir ini.’ 

“Ini berkehendakan dana, Dana yang besar dan kita akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menaik taraf sistem perparitan dan dalam hal ini mahu tak mahu kerajaan Sarawak terpaksa tanggung jawab juga untuk memberikan dana Insyaallah selagi pendapatan kita bertambah kita beri balik kepada rakyat.”

Hadir sama dalam Majlis tersebut, isteri kepada Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian,Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar Kuching Utara, Datu Junaidi Reduan, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng dan dif-dif kenamaan yang lain. -Sarawakku

Sumber dari : Sarawakku